Part 21
Cork city, Ireland.
Bandar Alor Setar.
Hari ini, aku dan Izzah pulang bersama. Ramai juga yang menghantar aku di airport. Itu kali terakhir aku menjadi warga bumi Cork yang menyimpan seribu satu kenangan itu. Aku menoleh buat kali terakhir memandang bumi kedua yang kucintai selepas Malaysia itu sebelum aku masuk ke perut kapal terbang. Aku menghirup sepuasnya udara Ireland. Selepas ini aku mungkin takkan kembali lagi ke sini..Mataku masih berbekas lagi hasil tangisanku selama 2 hari yang lepas. Malu juga dilihat orang. Tapi apakan daya, itulah perasaanku yang terpancar jelas di wajahku. Aku akan cuba melupakan semuanya. Kenyataan yang terlalu sakit untuk kuterima. Tapi itulah hakikatnya. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Mengenang aku ini hanyalah hambaNya yang hina, sesungguhnya tidak layak untuk aku mempersoalkan takdir ketentuanNya. Dia lebih tahu. Aku percaya sepenuh hatiku bahawa dia lebih tahu segala-galanya. Sepanjang di dalam kapal terbang, aku bersembang panjang dengan Izzah. Semuanya cerita-cerita gembira sahaja yang kami cakapkan. Kami berpisah di KLIA. Ibu bapanya akan menjemput dia di situ. Aku memeluk Izzah erat-erat sebelum berpisah. Bagiku dialah sahabat paling sejati pernah aku miliki. Aku meneruskan penerbanganku ke Alor Setar. Aku tidak memberitahu emak tentang kepulanganku. Sampai sahaja di Alor Setar, aku mengambil teksi dan terus pulang ke rumah.
Cork city, Ireland.
Fikiranku kini kosong. Aku Cuma memikirkan tentang pembedahan otakku yang akan aku uruskan nanti. Setibanya di rumah, aku nampak emak sedang menyapu di luar. Emak sungguh terkejut melihatku. Terus dia memelukku dan mencium pipiku. "Kenapa tak cakap dengan mak nak balik? Kalau tidak boleh mak dan Azmi jemput ana" kata emak lembut. Azmi?? Sudah lah tu Mak!Ana dah putus dengan Azmi..kata hatiku. "saja nak kejutkan mak.." kataku sambil tersenyum. Emak terus sahaja mengheret aku masuk ke rumah dan bercerita panjang-lebar denganku. Betapa dia merindui aku.. Aku tunjukkan pada emak gambar-gambar konvokesyenku. Emak memeluk aku sebaik sahaja dia melihat aku memakai baju merah jambu itu."Ana..kita cepatkan aje ye sayang.."ujar emak lembut."Cepatkan apa ni mak?" soalku dengan penuh debaran."Perkahwinan Ana laa..Janganlah berdalih-dalih lagi..Mak ada jumpa Azmi minggu lepas." Emak diam seolah-olah menunggu aku bertanya tentang Azmi. Aku diam sahaja.."Ana..Ana bergaduh dengan Azmi ke? Dia diam saja bila mak sebut nama Ana..Kenapa ana..bagitau lah pada mak.."pinta emak sepenuh hati."Erm..tak ada apa-apa mak..Alahh..biasalah..Ana kan duduk jauh dekat sebulan jugak tak balik ni kan..Mestilah macam tu sikit.."kataku. Apa maksud kata-kata aku itu aku sendiri pun tidak memahaminya. Aku tergelak sendiri di dalam hati memikirkan kata-kata aku pada emak itu. "Mak tengok Ana ni macam susah hati je..Ana ada masalah apa-apa ke.." soal emak sambil membelai-belai rambutku. Aku tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalaku.Biarlah aku sendiri dan menyendiri..Biarlah aku fikirkan masa depanku dan emak sahaja. Aku tak mahu lagi menghiris hati sendiri..Cukuplah dengan apa yang apa yang sudah berlaku.Malam-malam yang berlalu setelah aku kehilangan Hisham sememangnya begitu sukar bagiku. Sebelum tidur adalah masa terbaik yang selalu aku gunakan untuk memikirkan masa depanku, apa yang akan aku lakukan esok dan seterusnya. Ketiadaan Hisham dalam masa depanku adalah sesuatu yang di luar kemampuan diriku untuk membayangkannya. Kalau dulu, abah memaksa, aku masih mampu memberontak dan menolak. Tapi kini, empunya diri yang menjadi impianku sudah menolak. Apalah yang mampu aku lakukan. Ketumbuhan otakku adalah ujian dariNya. Pemergian abah adalah ujian dariNya. Andaikata umurku masih panjang, esok pasti akan menjelma jua. Hidup perlu aku teruskan. Tak ada gunanya aku merungut dan menangis. Aku lelap setiap malam berbekalkan kekuatan semangat dan keyakinanku pada Ilahi.
Malam sudah larut. Yang kedengaran Cuma suara cengkerik dan unggas-unggas di luar. Bunyi kipas berpusing menemaniku malam itu. Aku baru sahaja selesai menunaikan solat istikharah, memohon petunjuk Ilahi. Gambar masjid Nabawi di sejadahku itu kupandang lama. Malam ini aku bertekad untuk berusaha mengubah hidupku. Derita yang aku hadapi perlu aku lalui dengan kegigihan. Tidak ada gunanya lagi bayangan-bayangan wajah Hisham dalam hidupku. Dia terlalu jauh. Terlalu jauh untuk aku gapai. Aku harus belajar membuang Hisham daripada hidupku.Telekung aku lipat perlahan. Aku mengusap rambutku perlahan. Aku Cuma ada diri sendiri untuk membela nasibku. Selama ini, pergantunganku pada abah. Abah lah yang menguruskan diriku. Dialah yang menggembirakan aku. Seri hidupku sudah mula hilang sejak peristiwa tahun lepas. Aku perlu mengembalikan keceriaan yang sudah lenyap dari hatiku. Kalau lah abah masih ada, dialah yang akan berusaha mencarikan doctor terbaik untukku. Kalau lah abah masih ada, dialah yang akan memujukku atas kesedihanku. Aku menarik nafas panjang dan kuhembus perlahan. Aku perlu berdiri sendiri sekarang. Tidak perlu bergantung kepada orang lain. Aku perlu kuatkan semangatku. Semangat dan kegigihan untuk melawan kekangan emosi ku ini. Aku tertidur di atas sejadah yang masih belum kulipat.
"Assalamualaikum Ana." Suara di telefon itu kukenali. Azmi menelefonku pagi itu setelah hampir seminggu aku di rumah."Waalaikumussalam !Emm..""Ana..Mi bercakap ni. Boleh Ana datang klinik Mi tengah hari ni? Klinik Darul Syifa’. Ana tau kan? Mi tunggu pukul 12.30 nanti ok?" Nada Azmi tegas. Aku tidak berani membantah."Insya-Allah.."Aku segera bersiap. Aku lihat wajahku yang sedikit pucat itu. Aku sapukan pelembab dan pelapik bedak. Sedikit blusher dan lipstik nipis berwarna merah lembut turut aku sapukan. Malu pula ingin berjumpa Azmi dengan wajah yang begitu.Tepat jam 12.30 tengah hari, aku tiba di klinik Azmi. Puas juga aku meronda mencari Klinik Darul Syifa’ ini. Klinik itu kemas dan bersih. Tulisan-tulisan ayat-ayat Al-Quran yang indah-indah dibingkaikan dan digantung di dinding. Ramai juga orang di luar menunggu."Assalamualaikum..Ini Cik Nurul Hanaa ye?"Tanya penyambut tetamu di depan. Aku menjawab salam dan mengangguk-angguk sambil tersenyum."Cik pergi ke bilik nombor 2 di hujung sana, Dr Azmi sedang menunggu."Aku berlalu setelah mengucapkan terima kasih. Berdebar-debar sungguh rasanya. Entah apa yang akan dikatakan Azmi. Pasti dia marah dengan kata-kataku dalam suratku meminta tali pertunangan kami diputuskan. Aku mengetuk pintu perlahan. Setelah mendengar suara Azmi menyuruh masuk, perlahan-lahan aku menguak pintu yang tidak bertutup rapat itu. Aku terus saja menutup pintu dan memandang Azmi yang masih leka menulis sesuatu."Emm!" aku kehilangan kata."Duduklah Ana.."kata Azmi perlahan. Aku patuh sahaja. Kulihat Azmi masih lagi khusyuk menulis."Ana apa khabar? Macam mana grad? Seronok tak?" soal Azmi setelah menghabiskan kerjanya."Emm..ana sihat alhamdulillah..Grad pun seronok.."terketar kurasakan suaraku. Aku tidak berani melihat wajah Azmi."Ana!Mi minta ana ke sini..bukan untuk berbincang hal kita. Tapi, hal ana.." Aku sedikit terkejut. Hal aku? Aku mengerutkan dahi memandang meja. Hal apa pula?"Ana..Mi risau kesihatan Ana..Mi tahu tentang masalah kesihatan Ana. Mi dah uruskan pembedahan untuk Ana di KL. Laporan kesihatan ana pun Mi dah dapat dari Cork University Hospital. Mi harap Ana setuju dengan cadangan Mi ni.." Kata-kata Azmi yang panjang lebar itu memeranjatkan aku. Siapa?? Siapa pula yang memberitahu Azmi??"Izzah menelefon Azmi beberapa hari selepas ana kemalangan. Dia dah ceritakan semuanya pada Mi..""Semua? Hisham? Tentang Hishan pun?"soalku laju sambil memandang wajah Azmi."Hisham??" Azmi mengerutkan dahinya. "Siapa Hisham tu? Ohh..patutlah!Ana..tak sudi terima Mi..Rupanya hati ana dah berpunya.." Kata Azmi perlahan.
Dia memandang tepat ke wajahku. Aku jadi serba-salah. Darahku juga menyirap mendengar kata-kata Azmi. Benci pula aku mendengar nama Hisham itu."Hisham tu kawan biasa saja. Tak lebih dari itu." Kataku tegas."Habis tu kenapa ana sebut nama dia tadi??" soal Azmi memerangkapku. Aku terdiam Mataku tepat memandang Azmi tidak berkelip. "Ana tak pernah ada apa-apa dengan dia.""Tapi kenapa Ana sebut nama dia tadi?" Azmi mengulang soalannya. Hatiku menjadi geram mendengarnya. "Biarlah ana! Ikut suka saya lah!" Aku mula meninggikan suara. "Mana boleh ikut suka. Awak tunang saya""Saya dah minta diputuskan""Saya tak pernah setuju untuk putus" Azmi membalas. Selesai sahaja Azmi berkata begitu, azan zohor berkumandang dari masjid. Kami sama-sama terdiam. Aku mengalihkan pandangan ku ke almari buku yang tersusun di tepi dinding. Selesai sahaja azan, Azmi bingkas bangun. Aku memerhati dengan serba tak kena."Saya nak ke masjid bersolat sekejap. Awak pergilah solat di bilik sembahyang di atas. Lepas tu turun balik ke sini" arah Azmi. Aku menurut sahaja dia dari belakang. Aku naik ke tingkat atas mencari bilik sembahyang. Aku mengambil air sembahyang di bilik air bersebelahannya dan terus masuk bersembahyang. Ada seorang wanita sedang turut sama bersembahyang di situ. Aku menepuk belakangnya untuk berimam. Selesai memberi salam dan membaca doa, wanita itu masih lagi di situ. "Ini Cik Nurul Hanaa tunang Dr Azmi ye?" soalnya sambil tersenyum. Aku bersalam sambil membalas senyumannya. Aku dikenali rupanya di sini."Kakak ni siapa nama?" soalku lembut. "Kakak jururawat di sini. Panggil aje Kak Tiah..emm..patutlah Dr Azmi sanggup tunggu..comel tunang dia ni rupanya!" usik Kak Tiah. Aku Cuma tersenyum malu. Setelah Kak Tiah beredar, aku pun segera bersiap dan turun ke bawah semula. Aku bimbang kalau terlambat nanti, marah pula Azmi. Sudahlah tadi aku sudah pandai meninggi suara. Dia pula sudah bercakap penuh ketegasan denganku.
Aku masuk ke bilik tadi. Aku perhatikan bilik itu tersusun rapi. Azmi ini pengemas orangnya. Aku memerhatikan rak buku yang penuh dengan buku-buku perubatan dan buku-buku bertulisan arab. Aku beralih ke rak yang rendah dan lebar di belakang meja Azmi. Peralatan perubatan tersusun di rak itu. Aku memandang meja Azmi. Kerusi empuk Azmi itu aku duduk. Aku terpandang gambar-gambar yang tersusun di atas meja. Gambar Kak Ilya dan Abang Deris. Gambar Nora dan suaminya serta Izzati, adik-adik Azmi yang sudah kulupa nama mereka itu kutatap seorang demi seorang. Aku terkejut melihat gambar aku diletakkan bersebelahan gambarnya di dalam bingkai. Ini mesti emak yang beri gambar aku ini pada Azmi. Terharu pula aku dengan ingatan Azmi padaku. Di hujung sekali aku ternampak gambar aku dan Azmi semasa kecil. Aku terkejut sekali! Bila pula aku mengambil gambar dengannya?. Dia memeluk bahuku. Ketika itu mungkin aku dalam darjah satu agaknya. Umur Azmi sendiri pun aku tidak ambil tahu. Aku tersengih sendiri melihat gambar semasa kami kecil itu. Rambutku bertocang dua. Oh! Budak hingusan itu adik Azmi rupanya! Dia duduk bercangkung di hadapan aku dan Azmi. Aku hampir tergelak melihat gambar Azmi dengan seluar pendek itu. Ketawaku hilang sebaik sahaja ternampak Azmi di muka pintu. Terkejut aku bukan kepalang dengan kehadiran Azmi. Aku jadi tak tentu arah, bingkas bangun dan hampir terjatuh pula terlanggar wayar radio Azmi. Wajah Azmi tak berani aku pandang. Aku segera duduk semula di kerusi berhadapan meja Azmi. Azmi berjalan perlahan lalu duduk di kerusi empuk yang aku duduk tadi. "Apa yang ana gelak tadi?" soal Azmi sambil tersenyum. Lega hati aku melihat bayang senyuman itu. Sudah hilangkah marahnya padaku tadi? Aku mengangkat muka lalu tersenyum kembali padanya."Tu..gambar tu..gambar masa kecik.." "Ooo..gambar depan rumah Mi masa mak dan ayah Mi dekat sini duluu..Ana tak ingat ke?" Aku menggeleng-geleng kepala.
"Ha!itulah..asyik teringatkan Hisham dia aje..Manalah nak ingatkan kita ni.." Aku menarik muka mendengar kata-kata Azmi itu. Aku baru nak cuba berbaik semula, dia dah cari gaduh balik."Mi ni!.Ana baliklah macam ni.."kataku dengan nada merajuk. Aku mencapai beg tanganku di atas meja. Entah kenapa berani pula aku buat perangai dengannya."Tengok tu..baru usik sikit dah nak balik. Duduk situ. Jangan pegi mana-mana. Mi belum habis cakap." Kata Azmi, persis suara abahku mengarahkan aku. Aku duduk diam sahaja. Tak berani hendak melawan. Azmi sedang bercakap telefon dengan kawannya. Aku sendiri hairan dengan perangaiku ini. Apa yang sedang terjadi ini? "OK..sori Ana..kawan Mi tadi ada problem sikit..OK..Ha!ada apa-apa penjelasan nak berikan pada saya tentang Hisham?""Takde" jawabku ringkas dengan nada memberontak."OK..kalau takde, dua minggu lagi saya bawa awak ke KL untuk check-up dan operation tu." kata Azmi tegas."Ana tak cakap ana setuju pun lagi untuk operation tu" jawabku sambil menguis-nguis tali beg tanganku."Degil lah awak ni..Memang betul lah kata Pakcik Nuar..Degil,cepat merajuk!Tarik muka..semula lengkap.." Aku terasa seperti hendak menangis sahaja mendengar kata-kata Azmi itu. Abah ni..Itu pun dia ceritakan pada Azmi. Sesungguhnya aku teringatkan abah..Azmi ini rupanya seperti abah juga. "Ana.. 2 minggu lagi Mi bawa ana dan mak ke KL. Kawan Mi sendiri yang akan buat operation tu nanti. Mi tak berniat memaksa ana..Mi Cuma sayangkan Ana.. Sebab tu Mi nak ana cepat sihat." Ujar Azmi lembut apabila melihat wajah aku yang hampir menangis itu."Ana tak sakit pun." Aku meneruskan rajukku dengan kata-kata Azmi mengatakan aku degil tadi. Aku dengar Azmi menarik nafas panjang. Aku tak melihat wajahnya. Aku pandang sahaja beg tangan hitamku itu."Ana kan dah jadi doktor..Takkan tak tau pula..Okla..Mi minta maaf ye pasal kekasaran Mi tadi..Minggu depan hari Khamis kita pegi ye.."Aku sudah malas hendak bergaduh dengannya. Aku mengangguk sahaja. Tak sampai hati menolak. Dia bersungguh benar ingin membantu ku."Bayarannya macam mana? Berapa ribu? Ana belum cukup duit lagi..""Dengan tunang sendiri takkan lah Mi nak berkira. Tak payah Ana susah-susah fikir tentang duit. Mi bayar semua. Mi Cuma nak Ana sihat".Aku rasa tidak senang mendengar penjelasan Azmi. Aku tidak mahu terhutang budi padanya."Ana tak mau macam tu..Insya-Allah, nanti bila dah kerja Ana bayar balik."Azmi tergelak kecil mendengar kata-kataku. Entah apa yang kelakar."So, Ana setuju ?" soal Azmi. Aku sekadar mengangguk. Kepada siapa lagi boleh aku harapkan? Mujur juga ada Azmi hendak membantu. Alhamdulillah.."Macam tu lah tunang Mi" katanya sambil tersenyum. Hati aku sayu mendengar perkataan ‘tunang’ itu. Azmi tak kisah kah dengan penyakit aku seperti Hisham? Aku mula mengeluarkan air mata. Bertakung sudah air mataku. Aku teringatkan tentang tanggapan-tanggapan buruk Uncle Rahman dan Auntie Zaleha pada aku dan keluargaku."Mi.." aku bersuara perlahan. Dia memandang tepat ke arahku. Aku tunduk memulakan bicara."Mi tak kisah ke dengan diri ana? Ana sakit. Mak pun pernah sakit ketumbuhan juga. Mi tak kisah ke? Mana tahu memang keturunan ana ni macam tu.." Kataku perlahan."Ana..semuanya ini ketentuan Allah..Manusia tak mampu menghalang. Lagipun, ana sendiri belajar kan..berapa percent aje yang bergantung pada genetik."Air mataku mengalir di pipi. Kulihat Azmi bagai tergamam melihat aku menangis."Ana..kenapa ni..Mi mintak maaf pasal kekasaran Mi tadi. Janganlah macam ni." Dihulurkan sapu tangannya padaku. Aku sambut dan terus sahaja menyapu air mataku. "Mi, Mi tak kisah ke kalau mak dan arwah abah bukan orang berada?" soalku lagi. Aku tahu Kak Ilya dan Abang Deris bolehlah dikatakan orang berada di KL sana."Astaghfirullahal ‘azim..Apa ana cakap ni..Mi sayangkan Ana dan keluarga Ana sama macam keluarga Mi sendiri. Apa yang Ana nak beza-bezakan dengan harta ni?""Mi..Mi tak kisah ke Kak Ngah dengan hal politik dia tu. Mana tahu, bertentangan pulak dengan pendapat Mi..Nanti takde orang pulak datang klinik Mi""Ana..apa yang Ana cakap tak tentu hala ni..Mi tak pernah terfikir pula pasal tu semua.." Azmi menggeleng-gelengkan kepalanya."Mak dan ayah Mi suka ke Ana ni..? Dahla berpenyakit, bukan orang berharta..Ha..apa lagi? Degil, cepat merajuk, mengada-ngada..""Ehh!mana ada Mi cakap Ana mengada-ngada..??"Aku tersenyum sedikit mendengar kata-kata Azmi itu.
Bandar Alor Setar.
Azmi tersengih melihat aku menyapu-nyapu air mata. "Ana..kita kawin sekarang lah..Mi nak tolong sapu air mata tu..""Apa Mi ni..Ana tak sukalah.." Aku segera bangun ke sinki di bilik Azmi.Aku lihat wajah Azmi tersenyum memandang aku yang masih mengesat-ngesat mukaku yang dibanjiri air mata tadi. Aku membetul-betulkan tudungku. Hendak ke bilik air malu pula dengan orang-orang di luar dengan mata yang masih merah.Aku pulang segera selepas itu. Pertemuan sekali itu telah membuahkan perasaan terhadap Azmi yang tak dapat aku gambarkan. Azmi? Siapakah dia di hatiku kini? Tak mungkin aku jatuh hati padanya. Aku ketawa kecil di dalam kereta sambil menggeleng-gelengkan kepalaku. Kelakar rasanya memikirkan perasaan sendiri. Terasa hilang masalahku. Hilang perasaan susah hatiku. Sudah lama rasanya aku tidak ketawa begini. Perwatakanku yang dulu, mudah ketawa, suka berlawak dan periang sudah mula menunjukkan dirinya. Sudah lama tidak kurasa senang hati begini.Pertemuan dengan Azmi tadi seolah-olah mengubah sesuatu dalam diriku. Entah lah..Aku sendiri tidak faham. Mustahil untuk aku jatuh cinta padanya sedangkan bekas sisa-sisa kasihku pada Hisham masih lagi terpahat. Mungkin hatiku gembira kerana masalah ketumbuhanku insya-Allah akan diselesaikan tak lama lagi..Alhamdulillah.. Atau mungkin kerana aku telah berbaik semula dengan Azmi. Rasa bersalahku pada Azmi begitu menebal sejak aku memberikan surat untuk memutuskan pertunanganku dengannya sebelum aku berlepas ke Ireland bulan lepas. Tapi itu tidak bermakna aku mahu menjadi isterinya. Isteri! Gementar aku mendengar perkataan itu. Aku belum bersedia menerima sesiapa pun setelah aku kehilangan Hisham. Benarkah aku sudah kehilangannya??Tanganku memegang erat steering kereta arwah abah. Aku melalui jalan-jalan di kampung kawasan rumahku. Sengaja aku berpusing mengambil angin sebelum pulang ke rumah. Biarkanlah apa yang telah Hisham lakukan padaku. Aku sudah terlalu letih memikirkan tentang dirinya. Biarlah masa menentukan segalanya. Aku tiba di rumah dengan senang hati. Pertolongan yang dihulurkan oleh Azmi kusambut dengan tangan terbuka. Akan kubayar semula semua kos perubatanku setelah aku bekerja nanti. Segala persoalan hati yang masih tergantung ini aku tolakkan ketepi sehingga segala-galanya selesai. Terasa aman hidupku seminggu ini, seolah-olah segala kekusutan dalam kehidupanku sudah berlalu. Minggu depan Azmi akan membawa aku dan emak ke Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan itu. Azmi sendiri telah menerangkan tentang penyakitku kepada emak. Maklumlah, dia lebih percayakan kata-kata Azmi daripada anaknya yang masih mentah dalam dunia perubatan ini. Aku memandang dengan pandangan yang masih kabur ke arah wajah emak di sisi kananku. Emak tersenyum sambil memegang tanganku. "Ana..Bangun lah..alhamdulillah..semuanya dah selesai.." ujar emak lembut. Aku membalas senyuman emak. Pembedahanku sudah selamat dijalankan. Azmi serta Kak Ilya dan Abang Deris turut berada di sampingku. Aku tidak sanggup memandang wajah Kak Ilya. Wajah itu seolah-olah menaruh satu harapan buatku. Aku pejamkan semula mataku yang masih lemah. Alangkah indahnya jika Hisham di sisiku. Entah kenapa wajah Hisham tiba-tiba bermain di fikiranku."Biarlah dia rehat dulu", satu suara menyuruh mereka meninggalkan aku sendiri.Aku telah selamat kembali ke rumahku kini. Kesihatanku sudah semakin baik. Azmi menjaga aku dan emak dengan baik sepanjang kami di Kuala Lumpur dan juga setelah aku pulang ke rumah. Setiap hari dia akan menelefon emak bertanya khabarku. Abang Long dan Kak Ngah sekeluarga juga pulang menjengokku. Aku bersyukur kepada Allah kerana telah menyembuhkan penyakitku ini.
Sesungguhnya, Dialah yang Maha Menyembuhkan. Terus-terang aku katakan kebaikan Azmi telah sedikit-sebanyak menawan hatiku meskipun bayang-bayang Hisham masih lagi bermain di fikiranku. Aku duduk termenung di atas katilku sambil memandang kedua-dua cincin pemberian Azmi dan Hisham. Kedua-duanya sama cantik. Atau mungkin cincin pemberian Hisham itu lebih menarik pada pandangan mata kasarku. Pandangan mata hatiku? Aku sendiri tidak mampu menentukannya. Hari ini Kak Ilya telah menelefon emak bertanyakan tentang tarikh pernikahan aku dan Azmi. Emak begitu beriya-iya mahu mempercepatkan tarikhnya. Daripada apa yang aku lihat, emak juga agak kecewa dengan sikapku yang tidak memberikan sebarang respon. Ini bukanlah waktu yang sesuai untuk aku memikirkan soal perkahwinan. Aku baru sahaja pulih daripada pembedahan dan baru saja pulih daripada ingatanku terhadap Hisham. Aku belum bersedia. Memang aku suka membaca buku-buku isteri teladan, kisah-kisah Isteri-isteri Rasulullah, kerana aku tahu sesungguhnya, Allah meletakkan kedudukan suami itu begitu tinggi dalam kehidupan seseorang isteri. Aku mahu menjadi seorang isteri yang diredhai oleh suaminya. Tapi, perasaanku masih belum bersedia.Mungkin Hisham telah pun mengorbankan cintanya pada aku. Tiada sebarang berita pun yang aku terima daripadanya. Kalau diikutkan hati, mahu saja aku terima Azmi itu. Tetapi sekadar untuk membalas perbuatan Hisham. Tapi sesungguhnya ini tidak adil buat Azmi. Dia terlalu baik untuk diperlakukan begitu. Emak memberikan tempoh seminggu untuk aku memikirkan tentang perkahwinanku dengan Azmi. Masa berlalu dengan sia-sia sahaja. Aku masih belum mampu memberikan keputusan. Aku mahu katakan ‘ya’ tetapi kenangan bersama Hisham masih di fikiranku. "Kak Ana! Izzah ni!" jerit Izzah di telefon. Aku gembira sekali menerima panggilan Izzah. Ada juga Izzah menziarahiku di hospital tempoha hari. Aku ceritakan segala konflik yang aku alami sekarang pada Izzah. "Hmm..Izzah pun tak tau nak cakap jugak kak..Haritu Hanif bagitau Izzah, si Hisham tu still teringatkan akak la..tapi tu la..parents dia..Akak pun tau kan yang dia tu anak emas, so dia macam dah nekad cuba lupakan akak. Ntah la kak..Kesian jugak kat Hisham..Tapi Azmi tu pun baik kak..""Kenapa lah Hisham ni..Nampaknya tak ke mana kalau akak tunggu Hisham tu.." kataku perlahan. Sedikit demi sedikit aku mula menyedari hakikat kisah ku dengan Hisham. Izzah terdiam sebentar. Aku sekadar menarik nafas dalam-dalam."Ntah la zah.." Itu sahajalah jawapanku.Esok keputusanku perlu diberikan. Aku masih lagi bingung. Hidupku selepas berkahwin bergantung kepada lelaki yang akan aku kahwini ini. Bahagiakah aku hidup bersama Azmi? Atau dengan Hisham? Aku memegang perutku. Anak aku! Aku mahu dia mengikut wajah kacak Hisham. Aku tergelak sendiri. Ke situ pula fikiranku ini. Ah..Biarlah..esok..apa sahaja yang terkeluar daripada mulutku ini, itulah jawapanku. Terlalu sukar untuk aku berfikir dengan logic akalku. Sudah masanya untuk aku bertawakkal..Ya Rabbi..Bantulah hambaMu ini..Berikanlah yang terbaik buat diriku..Aku memandang wajah emak yang penuh harapan pagi itu. Aku membuka mulut untuk menjawab. Tapi tiada perkataan yang keluar. Dalam aku termanggu-manggu itu, terdengar pula orang memberi salam. Lega sedikit aku melihat emak bangun membuka pintu. Kelegaan aku Cuma seminit dua sahaja. Aku bagaikan hendak menangis melihat kelibat Kak Ilya berjalan menuju ke arahku. Di duduk di kerusi meja berhadapanku setelah bersalam denganku. Aku tidak berani memandang matanya. "Ni lah ni Ilya..tengah bertanya dia la ni..Diam je dianya. Uk-ak uk-ak dari tadi. Tak tau la .." kata emak sambil memandang Kak Ilya dengan pandangan yang aku sendiri tak pasti sama ada emak sedang membela aku atau memaksaku.
Kak Ilya Cuma tersenyum memandangku. Wajah kelatku aku paksakan juga membalas senyuman itu. "Diam tu tanda dia dah setuju kot!" kata Kak Ilya dengan senyuman yang makin melebar. Dadaku berdebar-debar mendengar kata-kata Kak Ilya tadi. "Emm..emm.." Aku cuba berkata-kata. Mungkin lebih baik kalau aku meminta seminggu lagi tempoh untuk aku berfikir."Ha!macam tu lah tadi..tak lepas dia nak bercakap..Ana nak cakap..cuba cakap betul-betul kat mak sayang.." pujuk emak lembut."Dia malu tu..sebab tu diam tu.. Setuju lah tu maknanya tu makcik.." Kata Kak Ilya dengan senang hati. Emak ketawa mendengar kata-kata Kak Ilya. Emak memandangku sambil tersenyum. "Setuju ye Sayang!" pujuk emak meminta aku mengiyakan. Aku tunduk memandang lantai. Hendak berkata-kata tapi tak mampu. Hendak menangis malu pula pada Kak Ilya. "Ha!setujulah tu makcik!Insya-Allah berbesan la kita!" Gembira sungguh suara Kak Ilya. Aku menelan air liur dengan begitu payah mendengarnya."Lepas ni kena panggil Kak Ilya emak tau Na.." Kata Kak Ilya lagi. "Ana ni malu sangat ni..macam anak-anak dara dulu-dulu..pemalu..bagusla makcik..Bukan macam budak-budak sekarang ni.. Berdua sana-sini tak malu langsung." Sambung Kak Ilya lagi. Emak pula beriya mengiyakannya."Emm!Ana masuk dulu la mak, kak.." kataku pada emak dan Kak Ilya yang masih asyik bersembang. "Masuklah Ana..Mak nak berbincang sikit dengan bakal mak mentua Ana ni",balas emak. Aku terus berlalu selepas bersalam dengan Kak Ilya. Perasaanku terlalu sukar untuk aku sendiri tafsirkan. Inilah takdirku. Air mataku mengalir deras di bilik. Kisah lama perlu aku lupakan. Masa depanku sudah menunjukkan bayangnya yang selama ini terlalu kabur kulihat. Cuma bayangnya yang aku lihat. Apakah warnanya tidak kupasti. Adakah ia ceria dan membahagiakan atau adakah ia suram dan menyeksakan. Aku memandang wajahku di cermin. Cuba tersenyum. Inilah wasiat abah yang akan aku tunaikan. Untuk Abah. Tak perlu lagi aku membantah. Inilah keputusanku. Muktamad. Aku akan berusaha untuk membahagiakan diri dan keluargaku. Selebihnya aku bertawakkal kepada Allah.2 hari selepas itu Kak Ilya menelefon emakku, meminta dipercepatkan sahaja tarikh perkahwinan kami. Kak Ilya meminta agar kenduri diadakan lebih kurang dua bulan dari sekarang. Kak Ilya sendiri akan menguruskan urusan perkahwinan kami. Aku terkejut sungguh mendengarnya dari emak. Cepat sungguh! Aku belum bersedia! Tapi emak bagai tidak mahu mengalah lagi denganku. Serba-salah sungguh aku dibuat emak. Kad jemputan yang berwarna keemasan telah diserahkan padaku semalam. Semua sahabatku aku jemput ke hari perkahwinanku.Izzah telah kukhabarkan awal-awal lagi, sebaik sahaja tarikh perkahwinanku ditetapkan. Dia bagaikan ingin menjerit mendengar berita yang aku sampaikan padanya. Air mata yang sudah hampir kering ini tumpah juga ketika menulis nama Hisham pada kad itu.Majlis perkahwinanku diuruskan oleh Pakcik Tamam,jiranku. Kak Ilya telah mengamanahkan tugas itu padanya. Katering Haji Zamani telah ditempah untuk jamuannya. Tugas aku dan emak Cuma menghias bilik pengantinku. Kak Ngah ada juga datang menolong. Tapi hampir setiap hari aku berulang-alik mengambil dan menghantar anak-anaknya menolongku apa-apa yang patut di rumah. Abang Long yang begitu sibuk pun mengambil cuti seminggu untuk pulang ke rumah untuk turut sama membantu. Anak-anak abang Long pun turut sama pulang. Maklumlah..cuti sekolah..Izzah datang 2 hari lebih awal. Dia telah kupilih sebagai pengapitku.Pagi bulan September itu telah menyaksikan aku dinikahkan dengan Mohd Azmi bin Idris. Aku memakai serba putih ketika akad nikah dan upacara akad nikah. Ucapan akad Azmi aku dengar dengan teliti. Aku mencium tangan Azmi dengan satu perasaan yang sukar untuk aku gambarkan. Dahiku dikucup Azmi lembut. Abang Li, jurugambar itu tidak habis-habis mengusik kami. Menyuruh berposing beginilah..begitulah..Aduhh!letih sungguh aku.
Ramai juga kawan-kawanku yang datang. Intan, Semah dan Zizi turut sama hadir. Aku cuba juga mencari-cari Hisham. Hanya Hanif sahaja yang aku nampak. Masih ada rindu yang terpalit buat Hisham meskipun hatiku ini dilukainya. Aku tahu dia terlalu sedih dengan keputusan keluarganya. Itulah apa yang diberitahu Hanif. Tapi dia tidak sekali-kali mahu menentang keputusan keluarganya. Aku tahu dia anak harapan keluarga. Aku tahu dia anak yang patuh dan taat. Tapi aku juga tahu dia tak mampu menyayangi diriku seperti ibu bapaku menyayangiku. Aku juga tahu keluarganya jauh lebih penting dariku. Mungkin kasihku pada Azmi masih terlalu sedikit, tapi aku yakin dengan kasih nya untukku. Alhamdulillah..segalanya berjalan lancar..Malam itu aku duduk di katil memerhatikan bilikku yang dihias indah itu. Sungguh aku tidak menyangka..Begini akhirnya episod kesedihan hatiku. Aku berdoa kepada Allah agar kehidupanku akan berubah selepas ini, berubah menjadi kembali ceria seperti dulu-dulu..seperti ketika abah masih ada untuk membelaiku.."Assalamualaikum..Apa yang isteri abang menungkan tu.."ujar Azmi lalu duduk di sebelahku. Aku tersenyum memandangnya. Tidak sedar pula aku akan kehadirannya tadi."Tak ada apa.."kataku malu-malu. Azmi memegang tanganku dan membelai rambutku yang melepasi bahu itu."Cantik isteri abang!""Abang..Ana minta maaf kalau sebelum-sebelum ni ana ada buat silap banyak pada abang..""Itulah..ana kena tebus balik ni..Dah remuk hati abang masa ana minta putus tunang dulu"Aku tertawa mendengarnya. Aku menyandarkan kepalaku ke bahu Azmi. Rambutku dibelai lembut. Aku terasa disayangi..
No comments:
Post a Comment